Pertikai SYUKUR: ‘Shafie pernah ada ruang dan peluang beri inisiatif kepada rakyat’ - Azrul

Shafie (kiri), Azrul (kanan)


KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) mempersoalkan mengapa Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak menggunakan ruang dan peluang untuk memberi inisiatif bagi membantu rakyat ketika menjadi Ketua Menteri sebelum ini.

Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Mohd Shafie yang mempertikai pemberian bantuan tunai kepada golongan memerlukan melalui inisiatif Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR) sehingga tular di laman media sosial, baru-baru ini.

"Saya tidak tahu apa niat beliau, selain hanya mahu berpolitik sesuai dengan sikapnya yang sering memanipulasi sesuatu perkara.

"Beliau yang pernah menjadi Ketua Menteri dan Menteri Kewangan Negeri memiliki ruang dan peluang untuk menterjemahkan kehebatan teori ekonominya melalui Bajet Negeri tahun 2019 dan 2020. 

"Namun melalui bajet negeri dua tahun tersebut, tiada apa yang boleh dibanggakan malah inisiatif untuk mencipta peluang ekonomi yang komprehensif tidak berjaya dicapai. 

"Tercatat pada rekod tahun 2018 prestasi ekonomi negeri mula menurun malah merundum pada tahun 2019 dan 2020 kemudian pulih semula bermula tahun 2021 dan kembali ke prestasi positif unjuran empat peratus hingga 4.5 peratus pada 2024," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata rekod kutipan hasil negeri ketika Mohd Shafie menerajui pentadbiran kerajaan negeri jauh berbeza berbanding Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

"Soal bantuan langsung kepada rakyat, perbandingan kerajaan beliau dengan kerajaan pimpinan Hajiji amat ketara. 

"Inisiatif pendidikan yang pelbagai, pembinaan Rumah Mesra SMJ, bantuan kepada usahawan, Sentuhan Kasih Rakyat dan inisiatif baru yang bakal diumumkan Ketua Menteri jelas memperlihatkan kerajaan GRS terkehadapan dalam soal menjaga kebajikan rakyat.

"Memperlekeh bantuan Sentuhan Kasih Rakyat memperlihatkan sikap sebenar Presiden WARISAN yang tidak mahu rakyat bergantung kepada kerajaan sepertimana kenyataan beliau ketika menjadi Ketua Menteri.

"Rakyat Sabah pasti punya kebijaksanaan menilai prestasi dan keupayaan kerajaan pimpinan Hajiji untuk terus mengemudi negeri pasca Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) kelak," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama