APMM gagalkan cubaan seludup 3 tan barang kawalan ke negara jiran

Maritim Malaysia Zon Tawau berjaya mematahkan cubaan menyeludup barang kawalan termasuk lebih 2 tan gula pasir yang disyaki cuba diselup ke Pulau Sebatik, petang kelmarin.


TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar barang kawalan bersubsidi termasuk lebih dua tan gula pasir dianggarkan bernilai RM8,000 petang kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, ia susulan pemeriksaan keatas sebuah bot kargo tempatan yang sarat dengan muatan barang runcit dan barang kawalan di kedudukan 2.2 batu nautika selatan Tanjung Batu, sekitar pukul 6.00 petang.

Beliau berkata, bot kargo terbabit berjaya dikesan kapal peronda KM MEDANG ketika sedang bergerak dari arah Jeti Makmur menuju ke Pulau Sebatik menerusi Ops Pagar Laut.

"Pemeriksaan awal mendapati bot kargo berkenan dikendalikan oleh seorang juragan lelaki warga tempatan berusia 30 tahun bersama pembantu lelaki warga Indonesia berumur 25 tahun.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaaan dokumentasi mendapati juragan itu gagal mengemukakan permit berkaitan barang kawalan yang dibawa dan hanya memiliki dokumen pengikraran barangan runcit ke Pulau Sebatik," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Shahrizan berkata, kedua-dua mereka kemudian ditahan dan bot kargo bersama muatan barang kawalan diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut mengikut Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. 

Katanya, selepas penggeledahan ke atas bot kargo tersebut telah menemukan sejumlah 2,110 kilogram gula pasir dan 820 kilogram minyak masak berpaket di dalam bot kargo tersebut.

"Kita tidak menolak kemungkinan kegiatan penyeludupan barang kawalan ini meningkat berikutan permintaan yang tinggi terutamanya menjelang musim perayaan.

"Bagaiamanapun, Maritim Malaysia komited akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah(ESSZONE)," katanya.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama