![]() |
Tun Musa (kanan) menerima cenderahati dari Awang (tengah) - ihsan Jabatan Penerangan Sabah. |
KOTA KINABALU : Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah akan menganjurkan majlis iftar di 25 kawasan parlimen Sabah sepanjang bulan Ramadan ini.
Pengarah UPPM, Datuk Awang Kadin Tang berkata penganjuran majlis tersebut merupakan yang kedua setelah dimulakan pada tahun lepas dan antara pengisiannya adalah menyampaikan sumbangan kepada anak yatim serta golongan asnaf.
“Program ini dijadualkan berlangsung selama tiga minggu yang akan diadakan di lokasi-lokasi terpilih di 25 kawasan parlimen Sabah bermula pada hari ketiga bulan Ramadan nanti.
“Penganjuran majlis iftar ini adalah untuk mengambil keberkatan bulan Ramadan bagi merapatkan lagi silaturahim antara pemimpin bersama masyarakat setempat.
"Program ini merupakan kolaborasi antara UPPM dan beberapa badan korporat yang dirancang bermula di Kudat dan berakhir di Papar di mana Tun Musa dijangka akan hadir di lokasi tertentu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas membuat kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Awang memaklumkan tujuan kunjungan adalah bagi menjemput Tun Musa hadir bersama-sama dalam majlis iftar tersebut yang akan diadakan pada minggu hadapan.
Hadir sama, Penolong Pegawai Tadbir UPPM Sabah, Seniah Taip, Penolong Akauntan UPPM Sabah, Kairudin Abd Ladis, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Salmi Sarinoh dan Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad Datuk Dexter Lau.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )