UMNO bukan parti lemah, tidak terburu-buru cari rakan sekutu - Bung

Foto ihsan: FB Bung Moktar

KOTA KINABALU: UMNO-BN Sabah menyifatkan partinya bukan parti lemah dan tidak terburu-buru untuk mencari rakan sekutu dalam usaha kembali menjadi dominan di negeri ini.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pihaknya telah merangka strategi tersendiri disamping memiliki pasukan khas dalam menghadapi sebarang situasi politik khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) kelak.

"Kami tidak perlu terburu-buru dalam mencari rakan gabungan kerana UMNO bukan parti yang lemah.

"Fokus utama kita kini adalah memperkukuh kekuatan dalaman dan memastikan setiap ahli serta jentera UMNO Sabah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) dengan keyakinan tinggi.

"Dengan sokongan padu daripada rakyat Sabah, Insya-Allah UMNO akan terus berjuang demi kestabilan dan kemajuan negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, Bung yang juga merupakan Pengerusi BN Sabah itu memberi tumpuan untuk memperkukuh jentera parti di semua peringkat sebelum memutuskan untuk memilih rakan sekutu dalam usaha kembali menjadi dominan di negeri ini.

Menurutnya, pihaknya sentiasa berlapang dada dalam menentukan masa depan serta hala tuju parti menjelang PRN17.

Katanya lagi, usaha untuk mengembalikan UMNO Sabah ke landasan yang tepat bukan sesuatu yang mudah.

"Namun, dengan keazaman dan kebijaksanaan kepimpinan serta seluruh ahli UMNO Sabah, segala kesulitan yang dihadapi sebelum ini berjaya diatasi. Hari ini, UMNO Sabah berdiri kukuh di landasan yang benar.

"Sebagai sebuah parti yang telah lama berakar umbi di Sabah, kita mempunyai hak untuk memilih dengan siapa kita ingin bergabung.

"Tetapi, sebelum memutuskan sebarang kerjasama politik, keutamaan kita adalah memperkukuh jentera parti di semua peringkat.

"Kita harus memastikan UMNO Sabah berada dalam keadaan yang kuat, kerana jika kita dominan, mana-mana pihak yang bergabung dengan kita juga akan melihat UMNO sebagai pemimpin utama dalam landskap politik negeri ini," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama