MUIS lancar sistem QR Pay BIMB BIZ bayaran zakat fitrah

Yahya (empat dari kiri) ketika menyempurnakan gimik pelancaran QR Pay BIMB BIZ - ihsan Jabatan Penerangan Sabah.


KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) melancarkan penggunaan sistem QR Pay Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB BIZ) untuk bayaran zakat fitrah pada tahun ini.

Yang di-Pertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin berkata selaras dengan matlamat kerajaan untuk mendigitalkan perkhidmatannya kepada rakyat, seluruh Malaysia adalah digalakkan menggunakan perkhidmatan berkenaan.

"Dulu kita membayar zakat fitrah menggunakan tunai. Sekarang ini kita menggunakan QR dengan bank islam. Jadi dengan itu lebih mudah agar tidak tercicir ataupun hilang wang tunai yang digunakan.

"Seluruh Malaysia lah saya ingat menggunakan perkhidmatan ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk mendigitalkan Malaysia," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pengisytiharan Kadar Zakat Fitrah Sabah bagi tahun 1446H/2025M, pada Selasa.

Pada majlis tersebut, Yahya mengisytiharkan kadar zakat fitrah bagi tahun ini ialah sebanyak RM7.50 ke atas setiap umat Islam yang bermastautin di Sabah.

Kadar tersebut adalah berasaskan sukatan satu gantang baghdad atau bersamaan 2.7 kilogram beras.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan jumlah keseluruhan pungutan zakat harta dan zakat fitrah pada tahun 2024 adalah sebanyak RM135,453,360.65.

"Pada tahun ini, bahagian zakat dan fitrah MUIS mensasarkan pungutan zakat dan fitrah sebanyak RM155 juta di mana pungutan zakat fitrah dijangka RM12.6 juta, manakala pungutan zakat harta dijangka berjumlah RM142.4 juta.

"Bagaimanapun, sebagai badan yang diamanahkan mentadbir dan mengurus zakat dan fitrah, MUIS sentiasa dihujani dengan pelbagai kritikan dan tuduhan tentang pengagihan zakat.

"Sebagai negara yang mengamalkan demokrasi sudah tentu tidak dapat elak daripada orang membuat kritikan, tuduhan.

"Tetapi pihak MUIS dengan sedaya upaya menjalankan tugasnya dengan sebaik mungkin dengan betul, teratur dan mengelakkan daripada perkara-perkara yang tidak mengikut peraturan.

"Jadi, saya memang selalu memberi teguran, memberi peringatan kepada pegawai dan anggota MUIS supaya berjaga-jaga, berhati-hati dalam menjalankan tugas mereka.

"Lebih- lebih lagi mereka yang ada kaitan dengan pungutan dan pengagihan zakat supaya zakat ini dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar berhak.

"Jadi mungkin ada juga tuduhan orang itu tidak layak, penerima tidak layak tetapi kita mempunyai prosedur, kita mempunyai peraturan, syarat-syarat yang mana yang kita bagi itu adalah benar- benar layak untuk menerima zakat," jelas beliau.

Terdahulu, berlangsung Sesi Penyerahan Anugerah Penyelaras Wakil Amil Cemerlang bagi Tahun 1445H/2024M Negeri Sabah serta Penyerahan Zakat Perniagaan Bank Islam Berhad yang berjumlah RM867 ribu untuk bayaran zakat perniagaan yang dikenakan pada tahun 2024.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah Datuk Dr. Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar, Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Safawi Ahmad, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah(JHEAINS) Datuk Jumain Abdul Ghani serta Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Negeri Sabah Datuk Norjeli Dais.




( JABATAN PENERANGAN SABAH )







Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama