![]() |
Zahid (tengah) bersama kepimpinan UMNO memotong pulut kuning sebagai simbolik perasmian Majlis Ulang Tahun UMNO Sabah Ke-34. |
TAWAU: UMNO membuka pintu kerjasama seluas-luasnya dengan mana-mana parti pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah demi kepentingan rakyat Sabah, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata apa yang penting parti itu perlu dominan dan menang dalam PRN Sabah akan datang.
Katanya, UMNO Sabah tidak akan menutup pintu serapatnya dan sedia bekerjasama dengan pihak yang boleh memberikan keuntungan politik kepada UMNO dan Barisan Nasional Sabah.
"Tuan-tuan dan puan-puan tidak perlu risau dengan parti apa yang BN, UMNO akan kerjasama kerana yang penting kita harus dominan semula dalam pilihan raya yang akan datang.
"Kita sanggup bekerjasama dengan siapa saja yang mempunyai idealisme, semangat dan tujuan yang sama dan kepentingan rakyat Sabah mesti didahulukan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun UMNO Sabah Ke-34 di Dewan Kompleks Sukan Tawau, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyatakan keyakinannya pada kepimpinan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar menerajui parti itu.
"Saya yakin Bung Moktar akan menerajui parti ini dengan baik dan menang secara dominan pada PRN Sabah akan datang,” katanya.
Sementara itu, pada sidang medianya pula, Ahmad Zahid berkata dia sudah bertemu dengan semua Ketua Bahagian UMNO dan ketua sayap parti seluruh Sabah untuk menyampaikan beberapa amanat.
"Saya sudah sampaikan kesiapsiagaan kita untuk menyusun jentera sekiranya PRN Sabah diadakan pada bila-bila masa.
“Kita telah menyediakan jentera yang secukupnya untuk menarik pengundi dan memberikan dokongan kepada calon-calon yang akan dikemukakan kelak,” katanya.