RM6.15 bilion peruntukan KKDW untuk pembangunan di Sabah


TAWAU: Sabah terima peruntukan sebanyak RM6.15 bilion menerusi pelbagai agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi tujuan pembangunan tahun ini. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jumlah peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk Sabah adalah antara yang tertinggi iaitu melebihi RM1 bilion setiap tahun.

Katanya, peningkatan peruntukan itu menunjukkan komitmen kerajaan bagi membantu kerajaan dan rakyat Sabah untuk menikmati pembangunan dan kesejahteraan di negeri ini.

“Pada tahun ini, di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) RMKe-12, daripada RM7.49 bilion peruntukan pembangunan KKDW, sebanyak RM1.11 bilion atau 14.8 peratus telah diperuntukkan bagi negeri Sabah melibatkan sebanyak 317 projek.

“Komitmen ini akan berterusan selagi wujudnya kerjasama dan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Program Sentuhan Kasih Desa @ Tawau, di sini, hari ini. 

Menurutnya, KKDW juga telah memperuntukkan sejumlah RM18.78 juta bagi tujuan pembangunan di daerah Tawau untuk pelaksanaan pelbagai projek melibatkan kemudahan awam, infrastruktur perhubungan dan utiliti desa.

Katanya, antara projek utama yang akan dilaksanakan di Tawau adalah pembinaan Jalan Luar Bandar (JALB) dan Jambatan Luar Bandar (JMLB) bernilai RM5.67 juta,

“Selain itu, inisiatif Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di Sabah masih diteruskan bagi membantu golongan yang berkelayakan. 

“Sebanyak 3,791 unit rumah diluluskan di bawah program ini iaitu 869 unit Bina Baharu dan 2,922 unit Baik Pulih yang meliputi kos RM132.31 juta,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pembangunan penempatan baharu dan penyusunan semula kampung sedia ada secara terancang di Sabah yang dilengkapi dengan kemudahan asas dan ameniti sosial, akan dilaksanakan menerusi tiga Projek Pemajuan Kawasan (PPK) dengan kos projek sebanyak RM166 juta.

“Bagi tahun 2025, sebanyak RM5.43 juta telah diperuntukkan bagi melancarkan pelaksanaan projek ini yang akan memberi manfaat kepada 3,500 penerima di sekitar Sabah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program ini, katanya, ia bertepatan bagi membantu semua usahawan di daerah ini mengembangkan potensi perniagaan masing-masing.

Katanya, KKDW telah memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi tahun ini untuk pembangunan dan pemerkasaan usahawan desa melalui Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).

“Melalui SPKLB ini, usahawan berpeluang mendapatkan kemudahan sokongan bagi memperkukuh, mengembangkan perniagaan dan membangunkan produk serta perkhidmatan bagi tujuan pemasaran yang lebih luas.

“KKDW juga sentiasa melipatgandakan usaha bagi membantu usahawan desa meningkatkan kualiti produk dan prestasi agar usahawan desa dapat beralih kepada kategori Mikro dengan jualan sehingga RM300,000 setahun.

“Semua masyarakat Tawau perlu sentiasa berhubung dengan agensi KKDW yang menyediakan program dan inisiatif keusahawanan agar dapat manfaatkan peluang yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama