![]() |
Suhaimi Nasir, Ketua Penerangan UMNO Sabah. |
KOTA KINABALU: UMNO Sabah menyambut baik gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar UMNO-BN Sabah kembali menjadi parti dominan di negeri ini.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata ia bukan sekadar aspirasi namun juga merupakan seruan perjuangan untuk pihaknya
Katanya, UMNO-BN Sabah pernah menjadi tunjang politik di negeri ini dengan membawa kestabilan dan pembangunan yang dinikmati oleh rakyat.
"Kita yakin bahawa dengan kebangkitan semula semangat perjuangan, kekuatan jentera parti, serta sokongan rakyat, kita mampu mengembalikan kegemilangan tersebut. Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) bakal menjadi titik penting dalam perjuangan UMNO-BN Sabah.
"Inilah masanya untuk kita mengorak langkah dengan lebih kukuh, memperkukuh akar umbi, dan meyakinkan rakyat bahawa UMNO-BN masih merupakan wadah terbaik untuk membela kepentingan mereka.
Jentera parti di seluruh Sabah sedang giat digerakkan, dan saya yakin dengan kesatuan serta semangat juang yang tinggi, UMNO-BN akan kembali sebagai kuasa utama politik Sabah. Kita tidak akan berundur, kita tidak akan goyah, kerana perjuangan ini adalah demi rakyat dan negeri Sabah yang kita cintai," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, Suhaini turut menggesa semua ahli UMNO BN untuk menyahut seruan itu bersama-sama.
"Dengan kekuatan akar umbi, pengalaman kepimpinan, dan hala tuju yang jelas, kita akan kembali sebagai parti dominan di Sabah. UMNO-BN Sabah tidak akan pernah mengalah," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO sedia untuk kembali menjadi parti dominan pada PRN17 Sabah pada tahun ini.
Presiden UMNO berkata keyakinan itu berdasarkan semangat baharu luar biasa yang ditunjukkan barisan kepimpinan negeri dan ahli di semua peringkat.