![]() |
Nazaria (empat dari kanan) di Majlis Pelancaran Buku Kajian Aspirasi Pencari Kerja di Sabah di Raia Hotel, Kota Kinabalu pada Selasa. |
KOTA KINABALU – Gaji yang setimpal dengan pendidikan menjadi faktor utama dalam pemilihan pekerjaan bagi pencari kerja di Sabah. Dapatan itu merupakan hasil Kajian Aspirasi Pencari Kerja Sabah 2024 yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Mohd Uzir Mahidin dalam satu ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Perangkawan, Puan Nazaria Baharudin, kajian ini memberikan gambaran menyeluruh mengenai struktur gaji, sektor pekerjaan utama serta keperluan kemahiran dalam industri tempatan.
“Antara cabaran utama yang dikenal pasti adalah ketidakseimbangan antara gaji dan kos sara hidup, ketidakpadanan kemahiran dengan keperluan industri.
"Serta trend migrasi tenaga kerja yang memberi kesan kepada pasaran buruh negeri,” katanya sewaktu berucap di Majlis Pelancaran Buku Kajian Aspirasi Pencari Kerja di Sabah di Raia Hotel, Kota Kinabalu pada Selasa.
Kajian turut menunjukkan bahawa 72.2 peratus responden memiliki pendidikan tinggi, manakala 27.8 peratus hanya tamat sekolah menengah. Seramai 87.6 peratus pemegang SPM memilih untuk kekal di Sabah, berbanding hanya 54.4 peratus dalam kalangan pemegang ijazah sarjana muda.
Selain itu, majoriti responden menyatakan kesediaan untuk berpindah ke negeri lain sekiranya ditawarkan gaji antara RM2,000 hingga RM4,999 sebulan, manakala tawaran gaji melebihi RM5,000 sebulan menjadi faktor utama untuk mereka berhijrah ke luar negara.
Bagi menangani cabaran ini, DOSM mencadangkan tiga intervensi utama, iaitu menyelaraskan permintaan dan penawaran tenaga kerja melalui latihan kemahiran dan data pasaran kerja yang lebih tepat.
Perkara ini bertujuan agar dapat memperkukuh sektor ekonomi seperti pertanian, perikanan, pelancongan, serta teknologi maklumat (ICT), selain menambah baik infrastruktur fizikal dan digital, terutamanya di luar bandar.
DOSM optimis bahawa dengan kerjasama semua pihak berkepentingan, Sabah mampu membangunkan pasaran kerja yang lebih mampan, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat serta mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini.