Kompleks Pusat Islam Sandakan siap dalam tempoh setahun - Arifin

Arifin berkata, projek itu akan dipantau dan diselaraskan oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). 


SANDAKAN:  Projek pembinaan Kompleks Pusat Islam Sandakan dijangka siap dalam tempoh setahun dan bakal menjadi bagunan ikonik bagi daerah tersebut.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata pembinaan kompleks tersebut merupakan aspirasi serta ilham Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman terhadap perkembangan syiar Islam di negeri ini.

"Kita telah mendapat taklimat dan prestasi projek ini diharap dapat diselesaikan dalam tempoh setahun kerana sekarang kemajuan pembinaan baru lebih 60 peratus.

"Pusat Islam Sandakan ini akan menjadi ikon bukan sahaja di Sabah tetapi di peringkat kebangsaan malah peringkat ASEAN.

"Inilah idea serta ilham daripada Tuan Yang Terutama Tun sejak dahulu dan inilah yang diharapkan oleh beliau agar menjadi kenyataan," ujarnya.

Bercakap kepada media di sini, Arifin yang juga Exco Agama dan Pendidikan memaklumkan pusat itu dilengkapi pelbagai kemudahan yang akan menjadi tarikan pelancong dari luar negara.

"Apabila siap nanti bangunan ini  akan menjadi pusat Islam yang menyediakan pelbagai kemudahan dengan tadika, pusat tahfiz, pusat pentadbiran dan insya-Allah JHEAINS, MUIS, Baitulmal juga akan berpusat di sana.

"Pusat-pusat kegiatan yang lain termasuk dewan solatnya sangat besar, masjidnya sangat besar dan dewan serbagunanya pun boleh memuatkan lebih 1,000 orang.

"Ini akan menjadi tarikan dari sudut pelancongan dan boleh menjadi salah satu kekuatan bagi kawasan Sandakan malah Negeri Sabah," katanya.  

Mengulas mengenai pemantauan Arifin mendedahkan, projek itu akan dipantau dan diselaraskan oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) serta Unit Perancang Ekonomi untuk memastikan pusat Islam berkenaan siap dalam masa setahun.

"Kita telah memutuskan tadi bahawa yang akan menjadi pemantau projek ini ialah MPS dan juga JHEAINS, di samping Unit Perancang Ekonomi yang telah menyediakan peruntukan daripada kerajaan Negeri Sabah.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada YAB Ketua Menteri atas keprihatinan beliau agar pusat Islam Sandakan ini benar-benar menjadi kenyataan dan peruntukan telah pun disediakan tinggal saja kita memerlukan kekuatan daripada pelaksana projek ini.

"Setakat ini dari masa ke masa, kerajaan akan menilai keperluan dan sekarang peruntukan yang ada sudah sedia untuk dilaksanakan dan mungkin akan datang, kita akan fikirkan keperluan-keperluan yang lain.

"Apa yang penting ialah kita memastikan projek ini siap menjelang setahun, dalam masa setahun," tegas beliau.

Terdahulu, Arifin mengiringi Tun Musa menghadiri taklimat serta lawatan ke tapak pusat Islam di Jalan Sungai Kayu dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden MPS Walter Kenson, Pengarah UPEN Sabah Datuk Jasmine Teo, Pengarah JHEAINS Datuk Jumain Abdul Ghani, Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah Datuk Dr. Omar Raisul As-Salam Sulaiman Omar dan Setiausaha dan Ketua Pegawai Eksekutif MUIS Ramlan Awang Ali.

Projek pembinaan Pusat Islam Sandakan telah bermula sejak tahun 2017 dengan kos RM60 juta di tapak seluas 5.2 hektar dan sepatutnya siap dalam jangka masa empat tahun.

Bagaimanapun, projek terbabit tertangguh akibat pandemik Covid-19 dan pertukaran pucuk pimpinan kerajaan negeri.


( JABATAN PENERANGAN SABAH )







Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama