KOTA KINABALU: Sabah Electricity mengalami kerugian sekitar RM30 juta setiap tahun akibat penyambungan haram elektrik di seluruh negeri ini.
Menurut kenyataan Sabah Electricity, kerugian tersebut mewakili kira-kira dua peratus daripada jumlah kehilangan tenaga dalam sistem grid mereka.
Katanya, sebagai usaha berterusan, SESB bersama beberapa agensi kerajaan telah melancarkan satu operasi bersepadu pada di sekitar Kota Kinabalu, Selasa lalu.
“Dalam Operasi ini, terdapat anggaran lebih kurang 50 buah rumah yang telah membuat penyambungan bagi mendapatkan bekalan elektrik tidak sah.
“Selain itu, anggaran sebanyak 800kg wayar aluminium telah dipotong dan dirampas hasil dari Operasi Bersepadu ini,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook milik SESB hari ini.
SESB menegaskan komitmennya untuk terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan sambungan haram atau pengusikan pepasangan elektrik.
“Jenayah ini boleh dikenakan tindakan undang-undang dibawah Seksyen 61 (3) Enakmen Bekalan Elektrik dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Operasi tersebut disertai oleh pengurusan kanan SESB termasuk Ketua Pegawai Operasi, Ir. Mohd Yusmanizam Mohd Yusof; Ketua Pegawai Runcit, Ahmad Nassaruddin Kamaruzaman; Ketua Distribusi Operasi dan Penyelenggaraan Wilayah Tengah, Ir. Ts. Sudalli Sabtuahim; serta Pengurus Kanan CERA KK, Ir. Ts. Christina Chin Kim Oi.
Selain itu, beberapa agensi kerajaan juga turut serta seperti ECoS, PDRM, Jabatan Air, Jabatan Imigresen, dan DBKK bagi menjayakan Operasi pada kali ini.
SESB turut menyeru masyarakat untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan bagi memastikan keselamatan bekalan elektrik serta mengurangkan kerugian yang ditanggung akibat kegiatan haram ini.