Perancangan pendidikan tinggi penuhi keperluan pembangunan - Zambry

Tun Musa (kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Zambry - ihsan Jabatan Penerangan Sabah.


KOTA KINABALU : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memastikan pelan perancangan sektor pendidikan tinggi di Sabah dilaksanakan sebaiknya agar memenuhi keperluan tenaga kerja dan pembangunan. 

Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata langkah-langkah yang tersusun perlu untuk melahirkan bakat, tenaga kerja dan juga golongan berpendidikan bagi membantu usaha pembangunan negeri Sabah secara menyeluruh.

"KPT bertanggungjawab memastikan pembangunan pendidikan tinggi di negeri ini berjalan lancar dengan beberapa institusi di bawah tanggungjawabnya seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), Politeknik dan Kolej Komuniti.

"Menjadi tumpuan KPT antaranya adalah pembangunan Kolej Komuniti serta institusi pendidikan lain yang dapat memperkasakan modal insan tempatan, seiring dengan keperluan industri dan ekonomi negeri," katanya selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, pada Rabu.

Di samping itu, Zambry memaklumkan terdapat juga perbincangan untuk mewujudkan kursus-kursus tertentu khususnya perundangan di institut pengajian tinggi yang ada di Sabah.

"Kita akan lihat dari segi kursus undang-undang itu apakah pendekatan dan cara yang terbaik untuk kita laksanakan.

"Sama ada kita mempunyai program kerjasama dengan universiti yang sudah sedia ada menganjurkan program undang-undang itu ataupun kalau ada proses lain, kita akan cuba lihat," jelasnya.

Tambah Zambry, KPT kini turut meneliti permohonan daripada Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) khususnya dalam usaha meningkatkan status institusi tersebut dan memperluaskan program yang ditawarkan.

"Ini termasuk juga dari segi program yang hendak dilaksanakan dan peningkatan ini termasuk pematuhan terhadap peraturan-peraturan yang diperlukan apabila sesebuah institusi dinaik taraf kepada kolej universiti penuh," ujarnya.


( JABATAN PENERANGAN SABAH )







Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama