![]() |
Arifin (tiga dari kanan) menyerahkan mock cheque bernilai kepada Nizam (dua dari kanan) di Wisma Muis, Kota Kinabalu pada Jumaat. |
Dengan sumbangan khas sebanyak RM86,000 daripada Tabung Zakat MUIS serta RM17,000 daripada Perbadanan Baitulmal Sabah, majlis penyampaian bantuan itu berlangsung di Wisma MUIS, Kota Kinabalu, hari ini.
Sumbangan tersebut diserahkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Agama dan Pendidikan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, kepada Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan.
Menurut Arifin, bantuan tersebut akan diagihkan terus kepada mangsa yang terlibat melalui pimpinan setempat bagi memastikan mereka mendapat bantuan sewajarnya.
“Beliau akan mengagihkan sendiri bersama dengan pimpinan di kawasan berkenaan untuk membantu sedikit sebanyak mengurangkan bebanan mangsa kebakaran yang sangat kita perhatikan dengan nasib mereka,” kata Arifin sewaktu ditemui media di Wisma Muis pada Jumaat.
Tambahnya, lebih 300 ahli keluarga terlibat dalam musibah itu dan setiap Ketua Isi Rumah (KIR) akan menerima sumbangan sebanyak RM1,000 daripada MUIS.
Sementara itu, Nizam menyifatkan bantuan tersebut sebagai satu inisiatif penting bagi membantu keluarga yang kehilangan tempat tinggal serta harta benda dalam kebakaran tersebut.
“Sumbangan dan bantuan ini amat berharga kepada mangsa dan sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh keluarga-keluarga yang terlibat,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar sumbangan tersebut dapat memberi kelegaan kepada mangsa, lebih-lebih lagi dengan kedatangan bulan Ramadan yang semakin hampir.
“Sekarang ini kita berada di ambang bulan Ramadan, jadi mudah-mudahan usaha sebegini akan melahirkan rasa kesyukuran daripada mangsa-mangsa yang terlibat,” tambahnya.
Bantuan ini diharap dapat membantu meringankan beban mereka yang terkesan serta membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat.