Lelaki ditahan, tergamak cabul anak saudara

Suspek ditahan polis selepas disyaki mencabul kehormatan anak saudaranya dalam kejadian dekat Merotai Besar, di sini, kelmarin.


TAWAU : Tindakan pantas polis berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki mencabul kehormatan anak saudara perempuannya berumur 14 tahun, di sebuah rumah di Merotai Besar, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata tangkapan dilakukan kurang 24 jam selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada ibu mangsa jam 9.12 pagi semalam.

Beliau berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai diketuai Sarjan Gegerahman Mohammad telah menahan suspek berusia 30 tahun kira-kira 3.30 petang hari yang sama selepas wanita itu tampil membuat laporan.

"Berdasarkan keterangan mangsa, kanak-kanak itu dipercayai dicabul oleh bapa saudaranya semasa dia sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah neneknya dekat Merotai Besar, di sini.

"Suspek didakwa mendekati dan cuba membuka baju mangsa lalu bertindak mencabul mangsa sebelum suspek melarikan diri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jasmin berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul kehormatan.

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum dengan penjara sehingga 10 tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama