Polis Marin Sabah serbu stor penyimpanan minyak diesel bersubsidi

Foto ihsan Polis Marin

KOTA KINABALU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menyerbu sebuah stor penyimpanan minyak diesel bersubsidi di Kampung Bantayan, Inanam, dalam satu operasi khas pada 3 Februari lepas.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Nazri Ibrahim, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa serbuan dilakukan sekitar jam 12 tengah hari semasa operasi Op Taring Landai Khas.

Dalam serbuan itu, seramai enam lelaki yang dipercayai pekerja di premis berkenaan telah ditahan.

Pemeriksaan lanjut mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkaitan penyimpanan minyak diesel bersubsidi di lokasi tersebut.

Antara barang yang dirampas dalam operasi ini termasuk 12 buah tangki simpanan minyak, tiga buah lori tanker, tiga buah lori bonded, tujuh unit motor pump, satu tangki jenis fiber, empat buah tong dram, satu unit water pump, serta beberapa gulungan hos minyak. Selain itu, sejumlah 102,300 liter minyak diesel turut disita dengan anggaran nilai rampasan mencecah RM1.239 juta.

Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Nazri turut memaklumkan bahawa seminggu sebelum serbuan ini, pihaknya telah berjaya menumpaskan satu lagi kegiatan penyimpanan minyak diesel bersubsidi secara haram di kawasan sekitar Kota Kinabalu.

Dalam operasi tersebut, 10 lelaki tempatan ditahan bersama beberapa buah lori, van, dan kenderaan pacuan empat roda. Sebanyak 93,100 liter minyak diesel berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.398 juta.

Kesemua tangkapan dan barang rampasan kini diserahkan kepada KPDN untuk tindakan dan siasatan lanjut.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama