Fokus inovasi baharu demi manfaat komuniti: Mustapha

Mustapha meninjau operasi harian di Fidlot Lembu Pedaging, FPL - ihsan UMS


SANDAKAN: Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) disaran agar memberi penekanan kepada inovasi baharu yang mampu memberi manfaat kepada komuniti.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk  Mustapha Sakmud berkata, sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, UMS mempunyai sumber kepakaran yang boleh dimanfaatkan untuk membantu komuniti setempat.

“Usaha ini adalah sejajar dengan langkah pemerkasaan komuniti yang merupakan antara tujuh fokus utama yang digariskan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada tahun ini.

“Kerjasama strategik antara UMS dan syarikat tempatan, Maha Sawit dalam model penanaman halia misalnya dilihat mampu memberi pendapatan tambahan kepada pelajar-pelajar B40 yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan sulung beliau ke Fakulti Pertanian Lestari, UMS Kampus Sandakan baru-baru ini. 

Mustapha menambah, model tersebut sekiranya dilaksanakan mampu membantu pelajar dan staf untuk menambah pendapatan mereka.

Terdahulu, Dekan FPL, Prof Dr Abdul Hamid Ahmad ketika menyampaikan taklimat sempena kunjungan tersebut merakamkan penghargaan kepada Mustapha serta rombongan KPT atas keprihatinan dalam memastikan isu pembangunan dewan kuliah pusat baharu di fakulti tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin.

Menurut beliau, bangunan dewan kuliah pusat yang dicadangkan bakal memberi manfaat kepada lebih 500 pelajar semasa di samping tambahan pelajar melalui penawaran dua lagi program baharu pada tahun ini iaitu Program Perladangan Kepersisan Pintar dan Program Agro Pelancongan Lestari.

Program lawatan Mustapha bersama rombongan antara lain adalah bertujuan untuk mendapat maklumat awal berhubung isu pembangunan dewan kuliah pusat, meninjau fasiliti kampus di samping menyantuni warga FPL. 


CAPTION:


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama