![]() |
Anggota APM Sandakan membantu seorang pelajar SPM menaiki bot untuk sekolah bagi menduduki peperiksaan hari ini. (Unit Berita RTM) |
SANDAKAN: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sandakan membantu seorang pelajar yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 untuk menghadiri peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Elopura menjadi tular di media sosial, hari ini.
Menurut perkongsian di laman rasmi Facebook APM Sandakan, pelajar lelaki itu terkandas di kediamannya di Kampung Gum-Gum Batu 16 selepas laluan utama ke sekolah ditenggelami air akibat banjir yang melanda kawasan itu.
“Semoga dengan ujian yang kamu hadapi ini dapat memberi kejayaan buat kamu pada masa akan datang. Good luck student SPM tahun ini,” komen Man Azman, salah seorang netizen.
Tindakan pantas dan keprihatinan APM ini mendapat pujian daripada masyarakat setempat, yang menganggap usaha tersebut sebagai bukti kepentingan solidariti ketika menghadapi cabaran bencana.
“Semoga di permudahkan urusan APM yang banyak membantu, terima kasih APM,” tambah Chloe Vincent.
Hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan beberapa kawasan di Sandakan mengalami banjir, sekali gus menyukarkan penduduk untuk menjalankan aktiviti harian mereka.
METMalaysia hari ini turut mengeluarkan amaran hujan berterusan yang dijangka melanda beberapa kawasan di Sabah, termasuk Sandakan, Telupid, dan Beluran.