RANAU: Seorang pendaki lelaki warga British yang ditemui tidak sedarkan diri ketika menuruni puncak Gunung Kinabalu di sini, disahkan meninggal dunia, semalam.
Mangsa berusia lingkungan 70-an itu dilaporkan tidak sedarkan diri di Kilometer 8.2 selepas Check Point Sayat-Sayat, Gunung Kinabalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.17 pagi.
Katanya, lima pegawai dan anggota termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung (MOSAR) serta malim gunung dan anggota ParkSAR digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan MoSAR bersama ParkSAR dan malim gunung memberi rawatan awal dan seterusnya mengangkat mangsa ke Panalaban Hut.
“Mangsa seterusnya dibawa turun menggunakan ‘robinson stretcher’ sehingga ke Timpohon Gate, sebelum diserahkan kepada pihak ambulan KKM,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Namun, katanya, mangsa yang tidak sedarkan diri itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM ketika menerima rawatan.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 5.21 petang,” katanya.