![]() |
Lelaki warga Indonesia, Muhammad Ahmad, 23, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 kali sebatan selepas didapati bersalah mengedar lebih 4kg dadah jenis methamphetamine, dua tahun lalu |
TAWAU : Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 kali sebatan rotan keatas seorang lelaki warga Indonesia atas kesalahan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 4,834.1 gram, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol menjatuhkan hukuman itu keatas Muhammad Ahmad, 23, ysng didapati bersalah selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh tangkapan 8 Ogos 2023.
Duncan dalam penghakimannya berkata, hukuman itu mengambil kira faktor umur tertuduh yang masih muda selain memberi peluang kepadanya untuk berubah.
Berdasarkan pertuduhan, pemandu lori itu yang dalam perjalanan untuk pulang ke kampung halamannya didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 4,834.1 gram di kawasan Jeti Awam Pelabuhan Tawau, di dekat sini, jam 10.10 pagi, pada 8 Ogos 2023.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39B (2) Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan minimum 12 kali sekiranya tidak dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes itu bermula 10 Disember lalu dengan lima orang saksi pendakwaan tampil memberi keterangan manakala pembelaan memanggil tiga saksi termasuk tertuduh sendiri.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili peguam Darmin Achok.