Pembukaan Pejabat Satelit di Tawau perluas akses perkhidmatan MyIPO

Zuhan(Kiri), ketika merasmikan pembukaan Pejabat Satelit MyIPO Tawau.


TAWAU: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) terus memperluaskan akses perkhidmatan harta intelek di negeri ini dengan pembukaan Pejabat Satelit baharu di Tawau.

Pengerusi MyIPO, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata ia adalah salah satu inisiatif bagi memastikan masyarakat, khususnya usahawan dan pencipta di Sabah mendapat kemudahan yang lebih mudah diakses.

Katanya, pembukaan pejabat kedua di negeri ini dilihat sangat perlu disebabkan faktor geografi yang luas dan ia menyebabkan cabaran dari segi jarak perjalanan bagi pemohon di pantai timur Sabah.

“Selain itu, permohonan yang ramai di Sabah termasuk dari Tawau iaitu sebanyak 2,196 dalam tempoh empat tahun turut menjadi faktor untuk keperluan mewujudkan satu lagi pejabat satelit di negeri ini. 

“Kita berharap lebih ramai lagi usahawan, pencipta dan pemegang hak harta intelek dapat mengakses kemudahan ini sejajar usaha memperkukuhkan ekosistem inovasi serta daya saing perniagaan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan Pejabat Satelit MyIPO Tawau, di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MyIPO, Seheikh Arifin Sheikh Mohd Noor.

Menurutnya, pembukaan Pejabat Satelit MyIPO Tawau ini dijangka akan dapat memberi ruang kepada lebih ramai individu dan syarikat untuk mendaftarkan hak mereka dengan lebih mudah.

Dr Mohd Zuhan berkata, pejabat ini turut memainkan peranan memperkasakan usahawan tempatan dengan pengetahuan dan bimbingan mengenai perlindungan harta intelek.

Katanya, dengan lebih banyak perniagaan Sabah yang berorientasikan produk tempatan dan berasaskan warisan akan dapat membantu meningkatkan nilai komersial serta daya saing mereka di pasaran.

“Justeru, pembukaan pejabat baharu ini adalah satu lagi pencapaian dalam usaha MyIPO memperluaskan rangkaian perkhidmatannya di seluruh negara.

“MyIPO akan terus komited dalam memperkukuhkan sistem perlindungan harta intelek di Malaysia, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara melalui inovasi dan kreativiti,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama