Pemandu lori balak didenda RM15k penjara sebulan

Pemandu lori balak, Tonny Chong, 37, didenda RM15,000 dan penjara 30 hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari, selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan dibawah Akta Pengangkutan Jalan


TAWAU : Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman RM15,000 dan satu bulan penjara keatas seorang pemandu lori balak atas tujuh pertuduhan termasuk memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan, di Jalan Merotai-Kalabakan, dekat sini, minggu lalu.

Hukuman itu diputuskan Majistret Don Stiwin Malanjum terhadap tertuduh, Tonny Chong, 37, yang membuat pengakuan bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333/87) yang boleh dihukum denda tidak kurang RM5000 dan tidak lebih RM10,000 selain boleh dipenjara sehingga 12 bulan serta lesen memandu diendos dengan sabitan kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa dengan enam pertuduhan lain iaitu masing-masing mengikut Seksyen 26(1); Seksyen 56(1); Seksyen 90(1); Seksyen 15(1)A; Kaedah 19 LN166/59; dan Seksyen 66A(2), Akta yang sama.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Merotai - Kalabakan, dekat sini, pada 19 Februari, minggu lalu. 

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee memohon hukuman denda yang tinggi atau penjara mengambil kira faktor kepentingan awam selain rakaman kejadian itu yang tular di media sosial.

Tegasnya, kes berkenaan merupakan kes serius yang mana tertuduh memandu tanpa lesen GDL selain lori tidak mempunyai cukai jalan dan tiada perlindungan polisi insuran sejak tiga tahun lalu sepatutnya diharamkan berada di atas jalan raya kerana berpotensi mengakibatkan pelbagai risiko yang tidak diingini.

"Kemalangan ini telah menimbulkan implikasi kewangan yang tinggi kepada pemilik kenderaan yang rosak teruk selain kesan trauma terhadap isteri pemandu yang mengandung 29 minggu.

"Walaupun kemalangan tidak melibatkan sebarang kecederaan namun insiden terbabit nyaris meragut nyawa pasangan suami isteri terbabit apabila sebatang kayu balak dari muatan lori dipandu tertuduh terjatuh dan menghempap pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux dinaiki mangsa," tegasnya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan gaji dibayar sebanyak RM120 mengikut trip dalam sehari selain mempunyai tanggungan.

Mahkamah kemudiannya turut memerintahkan tertuduh hilang kelayakan untuk mendapatkan lesen dalam tempoh 12 bulan dari tarikh sabitan hari ini. dan lesen memandu percubaan kelas D tertuduh dibatalkan.

Media sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri nyaris maut apabila sebatang kayu balak dari muatan sebuah lori terjatuh sebelum menghempap.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama