![]() |
Shafie (kiri), Armizan (kanan) |
PAPAR: Tindakan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengkritik Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) iaitu bantuan tunai RM300 sebulan selama setahun kepada golongan miskin dan miskin tegar di Sabah disifatkan sekadar modal politik pemimpin itu.
Susulan itu, Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohd Ali mempersoalkan apa sumbangan bekas Ketua Menteri Sabah itu bagi membantu meringankan beban rakyat negeri ini khususnya dari segi kewangan.
"Bagi saya dia (Mohd Shafie) boleh cakap apa yang dia mahu cakap. Biasalah dalam politik pihak yang melawan (pembangkang) ini akan cari modal atau isu untuk dijadikan modal politik.
“Jadi kalau mahu jawab politik, saya mahu tanya dia dan rakyat patut tanya dia masa dia (memerintah) apa dia bagi. Kalau kita bagi RM300 dia cakap tidak cukup, mahu tanya masa dia ada dia bagi RM100 sebulan? Ada dia bagi RM10 sebulan? Ada dia bagi RM1 sebulan? Tidak ada.
"Tetapi Alhamdulillah di bawah pentadbiran kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor ( Ketua Menteri Sabah) kita mulakan langkah. Tidak pernah kerajaan negeri ada program bantuan bulanan ini yang berterusan. Ini tiap bulan ada. Di bawah pimpinan Hajiji, program ini telah pun dirintis dan kita harap dengan hasil yang bertambah.
"Cuma kalau saya mahu jawab, memang RM300 itu tidak mencukupi tetapi dia kena ingat bantuan ini bukan secara one-off (sekali bayar). Ia berterusan dan dibayar tiga bulan sekali, RM900,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Advokasi Sara Hidup dan pembukaan akaun bank penerima sumbangan Sentuhan Kasih Rakyat Parlimen Papar bertempat di Dewan Datuk Salleh Sulong, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut berkata penyaluran segala bantuan oleh GRS termasuk bantuan program SYUKUR diterima oleh semua lapisan rakyat yang layak.
"Kita bagi bantuan ini bukan untuk Papar saja, bukan untuk Semporna saja. Ini bukan yang kalau kita turun kawasan (untuk bagi bantuan), kita panggil. Macam di Semporna dulu, turun kawasan panggil orang berbaris di rumahnya bagi untuk menerima bantuan.
“Melalui bantuan SYUKUR, kerajaan memperuntukkan RM358.5 juta untuk disalurkan kepada 100,000 orang penerima yang tersenarai dalam e-Kasih.
"Jika dikira untuk seorang iaitu RM300 sebulan mungkin nilainya kecil tetapi, ia memberi implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan negeri,” katanya.
Disamping itu, beliau turut berkata tidak mahu rakyat hanya setakat mendengar hasil negeri meningkat tanpa dinikmati sebaliknya mahu rakyat turut merasai manfaat dari peningkatan hasil terbabit.
"Jadi kita mahu rakyat bukan setakat dengar tapi lihat dan rasai. Maka manfaat daripada peningkatan hasil itu kita bagi bantuan secara terus kepada rakyat. Biar rakyat merasai apa mereka dengar, nikmat daripada hasil yang meningkat.
"Mungkin dia cakap RM300 tidak cukup sebab dia mungkin orang berada. Tapi bagi sesetengah orang yang menerima RM300, ia memberi makna cukup besar kepada mereka.
"Dia mahu cakap apa, biarlah dia cakap. Bagi saya sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman, sepatutnya dia bercerita tentang 'track record' dia.
"Apa yang dia telah buat sepanjang dia berikan tanggungjawab? Bukan hanya sebagai Ketua Menteri Sabah, tetapi bebelas tahun sebagai Menteri Persekutuan. Apa yang dibagi, yang konsisten?" katanya.