Sabah Electricity rekodkan 3,095 kes pengusikan pepasangan meter elektrik tahun lalu

Sekitar operasi bersepadu pengusikan pepasangan meter elektrik oleh Sabah Electricity - ihsan Sabah Electricity.


KOTA KINABALU: Sabah Electricity merekodkan sebanyak 3,095 kes pengusikan pepasangan meter elektrik yang berjaya dibongkarkan melibatkan kategori pengguna domestik, komersil dan industri pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi (COO), Ir Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata sebanyak 69 operasi bersepadu telah dilaksanakan di seluruh negeri Sabah dan Labuan.

Katanya, operasi bersepadu terbabit dilaksanakan dengan beberapa dengan agensi penguatkuasa lain seperti Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah (ECoS), Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Setakat bulan Februari 2025, pihak ECoS telahpun membawa sembilan kes ke mahkamah untuk proses pendakwaan.

"Pada 24 dan 25 Februari 2025, pihak Sabah Electricity dan ECoS telahpun memeriksa lima buah premis sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran kerana disyaki mengusik pepasangan meter elektrik.

"Oleh itu, Sabah Electricity akan membuat tuntutan semula ke atas kerugian hasil sepertimana yang telah diperuntukkan di mahkamah.   

"Kes pengusikan meter adalah menjadi kesalahan serius dan pelaku yang terlibat boleh didakwa di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan Akta Bekalan Elektrik 1990," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pengguna yang masih terlibat dengan kes pengusikan pepasangan meter elektrik.










Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama