![]() |
Park Taesu memuat naik permohonan maaf kerana mengecewakan seluruh penyokong skuad Sang Badak di Instagram story miliknya. |
KOTA KINABALU: Ketua pasukan Sabah FC, Park Taesu tampil memohon maaf secara terbuka selepas skuad itu gagal mara ke pentas final Piala Malaysia apabila tewas kepada Sri Pahang FC dengan agregat 2-3 pada ahad lalu.
Pemain berusia 36 tahun itu meluahkan rasa kesalnya kerana merasakan dirinya telah mengecewakan ramai penyokong setia Sabah FC.
"Saya memohon maaf kepada semua peminat bola sepak Sabah FC kerana saya merasakan ramai yang kecewa terhadap saya,” kata Park dalam kenyataan yang dimuat naik di ruangan media sosial miliknya.
Sementara itu, insiden pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur, Kuantan, menyaksikan Park tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit ke-68, sekali gus memberikan Sri Pahang gol pendahuluan.
Walaupun, Sabah FC kembali menyamakan kedudukan melalui jaringan S Kumaahran pada minit ke-72, perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.
Namun, jaringan penyerang Sri Pahang, Kpah Sherman, pada minit ke-106 memastikan kemenangan untuk pasukan tuan rumah dan Sabah FC untuk mara ke final.
Susulan itu, Park berkata beliau akan berusaha memperbaiki mutu permainannya dengan lebih bersungguh-sungguh.
“Saya menerima semua kritikan dan saya akan berusaha untuk meningkatkan prestasi saya," tambahnya.