KOTA MARUDU: Polis sudah mengenal pasti pemilik motosikal digunakan dua lelaki yang melarikan diri daripada ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kota Marudu, Ahad lepas.
Terdahulu, tular sebuah video di media sosial yang memaparkan seorang lelaki berlari selepas dikejar anggota polis trafik.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya sudah mengeluarkan saman terhadap pemilik motosikal terbabit.
Katanya, kejadian berlaku semasa sepasukan polis dari BSPT Kota Marudu menjalankan tugas Op Selamat 23, di Jalan Rakit dan Jalan Sumbilingon, kira-kira jam 10.30 pagi.
“Pasukan polis mengesan sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki dan terus menghampiri untuk menjalankan pemeriksaan.
“Namun ketika cuba dihentikan untuk pemeriksaan, kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri dan meninggalkan motosikal mereka di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Simiun berkata, usaha mengejar kedua-dua lelaki terbabit gagal selepas mereka melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.
“Motosikal lelaki terbabit dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu untuk siasatan lanjut.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan kes disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.