Lelaki cederakan anak, ugut isteri ditahan polis


TAWAU: Seorang lelaki yang mencederakan anak dan mengugut isterinya kerana tidak berpuas hati dengan tuntutan cerai fasakh di buat wanita tersebut membawa padah apabila ditahan polis, Khamis lepas.

Suspek warga asing berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 2.20 petang, oleh sepasukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata pihaknya bertindak mengesan dan menangkap suspek selepas menerima laporan daripada isterinya berusia 39 tahun.  

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di sekitar perumahan Taman Semarak, Tawau, pada 27 Disember tahun lalu. 

“Suspek dikatakan bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan permohonan cerai dan tuntutan fasakh yang dibuat oleh isterinya.

“Lelaki terbabit juga sering mengganggu mangsa sejak permohonan itu dikemukakan,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, dalam kejadian terbaru suspek bertindak agresif dengan mencekik anak mereka sebelum mengugut mahu mencederakan isterinya.

Jasmin berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, suspek berjaya ditahan di sekitar bandar Tawau, Khamis lepas dan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 326A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

“Polis memandang serius berkaitan kes keganasan rumah tangga dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan ahli keluarga mereka,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama