Lima termasuk dua pelancong cedera ringan nahas tiga kenderaan

Keadaan van persiaran yang remuk selepas bertembung dengan sebuah Perodua Bezza, dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di kilometer 38 Jalan Semporna - Tawau, di sini, pagi tadi. FOTO | Tular media sosial.


SEMPORNA : Kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di kilometer 38 Jalan Semporna-Tawau dekat sini, berpunca daripada pemandu Perodua Bezza yang masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung van persiaran dalam nahas jam 10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Sobri Zainol, berkata naha membabitkan tiga kenderaan iaitu pikap Toyota Hilux, van persiaran, dan Perodua Bezza masing-masing dipandu lelaki berumur antara 25 hingga 34 tahun.

Beliau berkata, nahas terbabit bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dengan semua lima individu berkenaan termasuk dua pelancong China hanya mengalami cedera ringan.

"Nemalangan berlaku apabila pemandu Perodua Bezza berumur 26 tahun dan pemandu Pikap berumur 25 tahun dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Semporna manakala van persiaran dari arah bertentangan.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu Perodua Bezza telah masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan van persiaran membawa dua pelancong terbabit sebelum dilanggar pula oleh trak pikap Toyota Hilux," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Sobri berkata, akibat kemalangan itu, kesemua kenderaan terbabit mengalami kerosakan dan remuk teruk.

"Kes disiasat mengikut kaedah Rule 10, 166/59," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memandu dengan lebih cermat Dan berhati-hati selain mengamalkan sikap bertimbang rasa semasa berada di jalan raya.

Terdahulu, beberapa keping gambar kemalangan itu tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi dikalangan netizen termasuk ada yang mempersoalkan sikap segelintir pemandu van persiaran yang memandu dalam keadaan laju.

Ada juga yang mempertikaikan tindakan segelintir pemandu dan pengguna jalan raya yang mementingkan diri sendiri dengan mengabaikan serta melanggar peraturan termasuk memotong di garisan berkembar.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama