SANDAKAN: Mayat seorang lelaki warga tempatan hampir reput ditemui di dalam sebuah rumah di Sri Taman Batu 3.5 di sini, pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy A/L Kuppan berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian bau busuk dipercayai dari rumah mangsa, kira-kira jam 11.30 pagi.
Katanya, bertindak atas maklumat pihak polis ke lokasi kejadian dan mendapati bau busuk itu dari dalam rumah tersebut.
“Polis yang berada di lokasi bertindak meminta bantuan pasukan bomba untuk membantu membuka pintu besi rumah mangsa yang terkunci.
“Sebaik pintu dibuka, polis menemui mayat seorang lelaki berusia 47 tahun terbaring dan sudah mula mereput di dalam sebuah bilik rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, mayat lelaki terbabit dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess Of Kent (HDOK) untuk proses bedah siasat.
“Hasil siasatan awal polis setakat ini mendapati tidak terdapat sebarang unsur jenayah dan khianat terhadap mangsa.
“Kes tersebut diklasifikasikan dan disiasat sebagai laporan mati mengejut,” katanya.
Terdahulu, menurut kakak dan adik mangsa, lelaki terbabit tinggal seorang diri di rumah tersebut sejak tahun 2019.