BELURAN: Dua beranak cedera dipercayai ditikam menggunakan besi di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Napagang Entilibon, Tongod, semalam.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, Kedua-dua mangsa lelaki iaitu bapa berusia 50 dan anaknya, 23 tahun terbabit dilaporkan turut disamun dalam kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Hasan Majid berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang wanita iaitu isteri mangsa.
Katanya, laporan diterima memaklumkan suami dan anaknya cedera ditikam menggunakan senjata tajam dipercayai besi untuk mengangkat buah kelapa sawit.
"Siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa dicederakan oleh dua orang pekerja mereka sebelum menyamun beberapa barang mangsa.
"Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan, tangan dan kaki itu dibawa ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek adalah warga asing yang dikenali sebagai Anuar, 40-an dan Saril, 20-an.
"Kedua-dua suspek turut dipercayai membawa lari sebuah kenderaan pacuan empat roda dan beberapa barang milik mangsa.
"Kami telah membuka kertas siasatan mengikit Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda serta sebat" katanya
Hassan berkata, pihaknya sedang memburu kedua-dua suspek terbabit dan orang ramai diminta tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Balai Polis Tongod.