![]() |
Sapawi (kanan) ketika menyerahkan cendera kenangan kepada Arifin (tengah) - ihsan Jabatan Penerangan Sabah |
KOTA KINABALU: Rakyat perlu meletakkan konsep Malaysia Madani yang tepat kepada landskap dan ekosistem Sabah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata Sabah mempunyai keunikan tersendiri dalam pelbagai perkara termasuklah dari segi sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik.
"Saya yakin dan percaya segala usaha ke arah itu telah dijalankan sebaiknya oleh Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Sabah dan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) serta kerjasama bersama agensi-agensi lain khususnya bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam setiap jiwa dan sanubari rakyat malaysia.
"Inisiatif-inisiatif kesejahteraan rakyat Malaysia Madani membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memakmurkan ekonomi negara seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat secara keseluruhannya namun kemakmuran dan kemajuan yang dicapai ini akan tergugat jika aspek perpaduan dan semangat cintakan negara itu tidak dipelihara bersama secara kolektif.
"Oleh itu, saya berharap setiap rakyat bersedia untuk melalui fasa peralihan yang terbesar dalam sejarah pentadbiran negara kita.
"Konsep Malaysia Madani ini merupakan kunci bagi membina negara bangsa dan perpaduan merupakan asas penting untuk menyatukan rakyat berbilang bangsa khasnya di Sabah dan amnya di Malaysia.
"Kehadiran kita semua pada pagi ini menunjukkan komitmen dan semangat cintakan negara yang tinggi dalam mengukuhkan perpaduan, pelbagai program peringkat persekutuan dan negeri yang menarik telah dilaksanakan bagi menyemarakkan semangat cintakan negara," katanya semasa merasmikan Seminar FIQH Kenegaraan Malaysia Madani di sini, pada Selasa.
Arifin turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada USIA, AKM Negeri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Pejabat Tugas-Tugas Khas Kerajaan Negeri Sabah serta rakan strategik dalam program tersebut.
"Harapan saya semoga kerjasama yang hebat ini akan memberi impak positif khususnya kepada para peserta yang hadir dan warga Sabah secara amnya dalam seminar ini," ujar beliau.
Hadir sama, Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad, Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Datuk Dr. Roslan Hussin dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Akademi Kenegaraan Malaysia, Roslan Mat Nong.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )