![]() |
Rosli ketika ditemui media - ihsan Jabatan Penerangan Sabah |
KOTA KINABALU: Sebanyak 10 kluster ditubuhkan bagi merealisasikan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam jabatan dan agensi persekutuan di Sabah.
Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Seri Rosli Isa berkata lima kluster telah ditubuhkan pada 2023 iaitu Kluster Pembangunan, Keselamatan, Kesejahteraan Rakyat, Tatakelola dan Anti Rasuah serta Pembangunan Modal Insan, manakala penambahan lima lagi kluster baharu bertujuan untuk menjamin mutu penyampaian perkhidmatan persekutuan di Sabah.
“Kluster-kluster itu ditubuhkan di bawah Peningkatan Penyampaian Perkhidmatan Awam Persekutuan Sabah yang berjaya melaksanakan pelbagai program dan mesyuarat strategik di bawah bidang kuasa masing-masing bagi mencapai objektif serta sasaran hala tuju ditetapkan.
“Bagi memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan persekutuan di Sabah, lima lagi Kluster Baharu ditubuhkan agar dapat memberikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan, cekap, dan berimpak tinggi kepada rakyat.
“Antara kluster-kluster yang baharu diperkenalkan adalah Kluster Pendidikan, Kluster Kesihatan, Kluster Pengangkutan, Kluster Penjanaan Ekonomi dan Kluster Perpaduan masing-masing diketuai oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Jabatan Perpaduan Negeri Sabah," katanya ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan Negeri Sabah Bil.1/2025 di Karambunai.
Rosli menjelaskan bahawa penubuhan kluster-kluster itu bertujuan merealisasikan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dengan penekanan Bidang Keberhasilan Reformasi (BKR).
“Antara lima pendekatan BKR yang ditetapkan adalah Penghayatan Nilai dan Tatakelola, Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Organisasi, Penyampaian Perkhidmatan, serta Memperkasakan Sinergi Awam dan Swasta.
“Selain daripada itu ianya juga untuk memastikan penyelarasan yang lebih baik antara agensi Persekutuan dan Negeri serta mempercepatkan pelaksanaan agenda pembangunan di Sabah.
“Dengan adanya pendekatan yang lebih sistematik dan berfokus, penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan menjadi lebih berkesan dan mampu memenuhi aspirasi pembangunan negara," ujar beliau.
Selain itu, beliau turut memaklumkan kerajaan persekutuan dan negeri sentiasa komited dalam memastikan projek pembangunan di negeri Sabah berjalan lancar.
“Usaha ini juga mencerminkan kegigihan semua pihak yang terlibat di peringkat negeri dan persekutuan serta komitmen teguh dalam memastikan pembangunan yang mampan dan menyeluruh demi kesejahteraan rakyat Sabah” katanya lagi.
Pada sesi mesyuarat itu, sebanyak 152 jabatan dan agensi persekutuan hadir antaranya PDRM, SPRM, Perbendaharaan Malaysia, Jabatan Penerangan Malaysia serta CIDB yang merupakan salah satu pembentang kertas taklimat semasa mesyuarat itu.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )