Gangguan sementara bekalan air di Kota Kinabalu, Tuaran Selasa depan


KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bakal melaksanakan satu penutupan separa kecemasan yang dijadualkan pada Selasa depan (25 Februari) bermula jam 8 pagi melibatkan daerah Kota Kinabalu dan Tuaran.

Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata penutupan terbabit perlu bagi membolehkan kerja pembaikan segera dijalankan ke atas kerosakan lapan injap udara di sepanjang jajaran paip dari Loji Rawatan Air Telibong II dan juga pembaikan satu (1) Pam Air Terawat di Loji Rawatan Air Telibong II.

Menurutnya, sepanjang tempoh pembaikan, Loji Rawatan Air Telibong II akan beroperasi pada kapasiti terhad, menghasilkan hanya 75 Juta Liter Sehari (JLH) berbanding kapasiti biasa sebanyak 96 JLH iaitu pengurangan sebanyak 21 peratus dalam pengeluaran air terawat. 

"Bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan air ini, tindakan mitigasi oleh pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan dilaksanakan semasa gangguan tersebut. 

"Namun, orang ramai dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sehingga  bekalan kembali pulih sepenuhnya. 

"Pasukan teknikal yang dilantik akan bekerja sepanjang masa bagi memastikan pembaikan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan untuk mengurangkan impak kepada pengguna. 

"Apabila kerja pembaikan ini selesai dilaksanakan, kadar kemasukan air ke tangki utama dapat ditingkatkan dan isu gangguan  bekalan air di kawasan hujung sistem bekalan air seperti Gayang, TLDM, UMS, Hospital Likas, Kingfisher, Menara Kinabalu, Taman Cerah dan kawasan sekitarnya juga turut dapat dikurangkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata orang ramai digalakkan untuk mendapatkan maklumat terkini melalui pengumuman rasmi. 

"Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada talian Careline JANS atau melalui laman web dan media sosial rasmi JANS," katanya.

Antara kawasan terlibat yang dijangka mengalami gangguan sementara bekalan air adalah SK Nexilis, Kibing Solar, UMS, Hospital Likas, 1Borneo, Kingfisher Sulaman, Ujana Kingfisher, Kingfisher Raja Udang, kawasan Sulaman, Indah Permai, Kawasan Sepanggar, IKM, ILP, TLDM, SSM, UITM, Gayang (Tuaran), Nexus, Karambunai, Politeknik dan kawasan sekitarnya


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama