![]() |
Phoong menafikan dakwaan syarikat keluli tangguh pelaburan di Sabah. |
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian (MIDE) menafikan dakwaan bahawa Syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (Esteel) telah menangguhkan pelaburan mereka di Sabah kerana hilang keyakinan terhadap Kerajaan Negeri.
Menteri Pembangunan Perindustrian, Phoong Jin Zhe menegaskan bahawa dakwaan berkaitan tangguhan pelaburan yang berjumlah USD4.39 bilion (RM19.6 bilion) di negeri itu tidak berasas dan tidak mencerminkan realiti sebenar.
Katanya, pelaksanaan pelaburan Fasa 1 oleh Esteel di negeri ini sedang berjalan lancar mengikut perancangan.
“Pelan Pembangunan (DP) bagi pembinaan kilang pembuatan keluli hijau oleh Esteel telah pun diluluskan oleh Majlis Daerah Sipitang.
“Selain itu, Lesen Pengilang (FML) bagi pelaburan Fasa 1 juga telah diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 24 Januari 2025,” jelasnya dalam satu kenyataan media.
Kerajaan Negeri turut memaklumkan bahawa usaha memenuhi keperluan utama Esteel, termasuk bekalan gas asli, sedang dipergiatkan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri bersama Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC) terus bekerjasama rapat dengan Esteel untuk memastikan pelaburan ini dapat direalisasikan, sekali gus membawa manfaat besar kepada ekonomi negeri dan rakyat Sabah.
Phoong turut menjelaskan bahawa dakwaan Esteel menangguhkan pelaburannya adalah tidak benar, dan projek tersebut berjalan seperti dirancang.
“Sebagai bukti komitmen syarikat Esteel untuk meneruskan pelaburan di Sabah, Perjanjian Penyewaan Tanah bagi pelaburan Fasa 2 & Fasa 3 di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) telah ditandatangani pada 31 Disember 2024.
“Ini membuktikan keyakinan syarikat pelabur tersebut terhadap kestabilan dan sokongan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan pelaburan berimpak tinggi ini, tambahnya.
Antara kemajuan yang telah dicapai termasuk kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk kerja-kerja tanah, pelaksanaan siasatan tanah bagi pembangunan kilang dan jeti, serta penyempurnaan simulasi keselamatan marin (FMSS) untuk penilaian risiko trafik marin.
Sementara itu, Kerajaan Negeri melalui MIDE akan terus berusaha mempercepatkan pengoperasian kilang ini bagi menjana manfaat kepada ekonomi Sabah serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.