PKR gesa laksana undi pos, mudahkan mahasiswa Sabah di luar negeri mengundi semasa PRN

Mustapha berkata kos penerbangan yang tinggi dan kekangan logistik menjadi penghalang untuk golongan belia mengundi dalam pilihan raya.


KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menggesa agar undi pos dilaksanakan untuk golongan belia khususnya mahasiswa berasal dari negeri ini yang sedang meneruskan pengajian di luar Sabah.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) merangkap Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata kos penerbangan yang tinggi dan kekangan logistik menjadi penghalang untuk golongan terbabit mengundi dalam pilihan raya.

Menurutnya, setakat Disember tahun lepas, Sabah mempunyai 1.69 juta pengundi berdaftar, dengan lebih 55 peratus terdiri daripada golongan muda berusia 18 hingga 39 tahun. 

"Dengan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik, lebih ramai rakyat Sabah kini layak mengundi. 

"Walau bagaimanapun, ramai yang mungkin terpaksa melepaskan hak mereka untuk mengundi kerana kos perjalanan yang membebankan terutamanya ribuan mahasiswa Sabah yang sedang menuntut di universiti dan kolej di seluruh negara. 

"Generasi muda ini terutama golongan mahasiswa perlu diberi peluang dalam menentukan pimpinan dan halatuju negeri ini mengikut perspektif dan citarasa anak muda.

"Sebagai generasi pelapis, sewajarnya pandangan mereka perlu direalisasikan dalam peti undi. Namun, disebabkan jadual akademik yang padat serta beban kewangan yang tinggi, ramai dalam kalangan mereka tidak mampu untuk pulang ke Sabah semata-mata untuk mengundi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata harga tiket penerbangan yang tinggi terus menjadi kebimbangan rakyat Sabah terutamanya ketika musim pilihan raya dan perayaan utama. 

"Pada Oktober 2024, laporan menunjukkan tambang penerbangan antara Sabah dan Semenanjung boleh mencecah sehingga RM1,700. 

Katanya, walaupun kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk menangani isu ini seperti memperkenalkan subsidi untuk pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi sehala yang melebihi RM599 semasa musim perayaan, penyelesaian jangka panjang masih diperlukan rakyat Sabah.

"Sebelum ini, pelaksanaan undi pos untuk rakyat Malaysia di luar negara telah diperluaskan kepada mereka yang menetap di Singapura dan selatan Thailand dalam PRU15. 

"Langkah ini membuktikan bahawa sistem undi pos boleh diperluaskan demi memastikan akses yang lebih adil kepada semua pengundi. 

"Oleh itu, dengan mengambil kira terdapat lebih 200,000 rakyat Sabah yang bekerja dan menuntut di Semenanjung Malaysia sahaja, saya menggesa agar prinsip yang sama diterapkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang," katanya.

Susulan itu, beliau menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melaksanakan undi pos bagi pengundi Sabah yang menetap di luar negeri dalam PRN Sabah. 

Katanya, langkah ini akan memastikan setiap rakyat Sabah yang layak dapat menunaikan hak mereka tanpa halangan kewangan atau logistik.

"Selain undi pos, saya juga mencadangkan agar SPR meneroka kaedah pengundian lain yang lebih mudah diakses oleh rakyat Sabah yang berada di luar negeri.

"Antaranya, undi atas talian yang boleh dijalankan dengan sistem keselamatan yang ketat seperti yang telah dilaksanakan di Estonia.

"Selain itu, mewujudkan pusat pengundian strategik di negeri lain seperti yang dilaksanakan pada Pemilihan Umum Indonesia yang lalu di mana mereka membuka enam pusat pengundian di seluruh Malaysia. 

"Dengan cara ini, pengundi Sabah boleh menunaikan hak mereka di pusat-pusat mengundi yang ditetapkan di bandar utama di Semenanjung Malaysia dan Sarawak tanpa perlu pulang ke Sabah," katanya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama