![]() |
Tun Musa (kanan) menerima cendera kenangan dari Maria (kiri) - ihsan Jabatan Penerangan Sabah. |
KOTA KINABALU : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menggariskan lima strategi utama bagi meningkatkan taraf kesihatan di negeri ini.
Pengarah JKNS, Dr. Maria Suleiman berkata lima strategi tersebut antaranya merangkumi kuasa autonomi kesihatan bagi JKNS.
"Kedua adalah untuk meningkatkan struktur pembangunan fasiliti kesihatan negeri Sabah dan ketiga memperkasakan perkhidmatan kesihatan bagi memberi perkhidmatan kualiti yang terbaik.
"Manakala yang keempat adalah untuk mempertingkatkan sumber manusia dan yang terakhir adalah strategi untuk meningkatkan peruntukan kewangan mengurus," katanya selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.
Menurut Maria, kunjungan tersebut bertujuan mengeratkan hubungan kerjasama antara JKNS dengan Kerajaan Sabah selain membincangkan perancangan kesihatan yang lebih baik untuk negeri ini.
Sementara itu, berkaitan isu keselamatan makanan, beliau memaklumkan pihaknya memantau isu penjualan gula-gula gummy eyeball yang baru-baru ini dilarang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Di Sabah, kawal selia keselamatan makanan tertakluk di bawah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan.
"Setakat ini, tiada kes seumpama itu dilaporkan di negeri ini, namun kami tetap menjalankan penguatkuasaan berdasarkan Akta Makanan yang sedia ada,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan makanan termasuk dalam aspek pembungkusan, saiz dan jenis makanan yang boleh mengundang risiko keselamatan kepada pengguna.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )