KUALA LUMPUR: Transparency International Malaysia menyifatkan tindakan pemberi maklumat atau whistleblower yang tidak menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tidak layak diberi perlindungan.
Presidennya, Dr Muhammad Mohan mengambil contoh tindakan kes pemberi maklumat yang tidak memberi video berkaitan dakwaan skandal rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah tahun lepas tidak melayakkan individu terbabit diberi perlindungan berdasarkan undang-undang sedia ada.
"Contohnya, kes (penyebaran video dakwaan skandal rasuah ADUN Sabah) itu, (mengundang) macam-macam spekulasi sebab rakyat (di Sabah) menganggap pemberi maklumat itu whistleblower.
"Sebenarnya dari (segi) undang-undang yang ada di negara kita ini, dia (pemberi maklumat) itu tidak layak (diberi perlindungan).
"Sebab bila dia menguar-uarkan kepada media, tidak melaporkan kepada pihak berkuasa, secara automatik dia tidak layak. Kami ikut kes ini dengan rapi.
"Walaupun dia yang menggelarkan dirinya pemberi maklumat ini jumpa dengan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan SPRM beri dia ruang untuk laporkan, tapi dia tidak mahu laporkan.
"Jadi apa niat dia sebenarnya? Persepsi yang dia bawa, jadi inilah sebabnya rakyat salah faham sampai hari ini. Bukan rakyat tapi media juga.
"Banyak media menyatakan whistleblower, tapi sebenarnya tidak layak sebagai whistleblower," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu video wawancara bersama media nasional tempatan dan tular di laman media sosial.