KOTA KINABALU - Sabah terus mempergiat usaha menarik lebih ramai pelancong antarabangsa, khususnya dari Rusia dan India, sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh industri pelancongan negeri.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew Chin Jin berkata, lawatan antarabangsa pertama bagi tahun 2025 akan melibatkan Kota Kinabalu ke Shanghai sebelum diteruskan ke Moscow.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memperkenalkan Sabah sebagai destinasi pelancongan kepada pelancong Rusia, terutama ketika musim sejuk di negara berkenaan.
"Kerajaan negeri sangat menyokong usaha kementerian pelancongan dan memberi ruang kepada kami untuk meneroka pasaran antarabangsa, dan pada 2025, destinasi luar negara pertama kami ialah dari Kota Kinabalu ke Shanghai, kemudian ke Moscow.
"Kami mahu menarik pelancong Rusia, terutama ketika cuaca di sana mencecah -40 darjah Celsius. Kini mereka melancong ke Thailand dan Singapura, tetapi kami mahu mereka datang ke Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar 2025 serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 kementerian berkenaan bersama jabatan dan agensi di bawahnya di Hotel Hilton, pada Rabu malam.
Selain Rusia, pasaran pelancong India turut menjadi fokus utama bagi memperluaskan lagi sektor pelancongan Sabah.
"India dan Rusia adalah antara pasaran besar yang sedang kita fokuskan dan kita juga akan meneroka pasaran di Australia dan beberapa negara lain.
"Tahun ini, kita menyasarkan kehadiran 3.5 juta pelancong dan sedang berusaha keras untuk mencapainya,” tambahnya.
Untuk rekod, Sabah berjaya menarik kira-kira 2.7 juta pelancong pada tahun 2024, dan kini usaha lebih agresif sedang dilakukan bagi mencapai sasaran baharu tahun ini.