Kenyataan Bung Moktar mengelirukan rakyat - Nizam


KOTA KINABALU: Kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin mempertikai seruan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor supaya memberi peluang kepada kerajaan negeri, adalah tidak berasas dan bertujuan mengelirukan rakyat.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, fakta jelas menunjukkan kepimpinan Hajiji dan halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ), Sabah telah mencatatkan pelbagai pencapaian membanggakan.

Katanya, ia dapat dilihat pada tahun lepas, Sabah menerima pelaburan berjumlah RM11.34 bilion, termasuk projek besar yang bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

“Hasil negeri juga meningkat secara signifikan iaitu mencecah RM6.9 bilion pada tahun 2023, membuktikan kebolehan kerajaan negeri mengurus ekonomi dengan baik.

“Sektor tenaga dan infrastruktur turut mendapat perhatian serius, dengan pelaksanaan projek solar hibrid dengan kapasiti 199mw dan pembinaan stesen janakuasa hidroelektrik di Ulu Padas.

“Selain itu, pembinaan projek BESS 'Battery Energy Storage System' yang berkapasiti 100 mw di Lahad Datu turut dilancarkan bagi memastikan semua tempat di negeri ini menerima bekalan elektrik yang lebih stabil,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Menurutnya, usaha berterusan itu adalah bukti bahawa kerajaan negeri tidak hanya sekadar menabur janji, tetapi benar-benar membawa perubahan yang ketara kepada Sabah. 

Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, Ketua Menteri tidak ‘merayu simpati’ seperti yang didakwa, sebaliknya beliau bersikap telus dan realistik dalam memastikan kesinambungan pembangunan Sabah.

“Pembangunan dan kemajuan negeri bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam satu penggal, ia memerlukan kesinambungan dan kestabilan politik untuk mencapai kejayaan lebih besar.

“Inilah yang beliau tekankan bahawa mandat rakyat adalah kunci untuk memastikan segala perancangan yang telah bermula dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Katanya, Sabah telah menunjukkan kemajuan yang ketara, dan usaha ini perlu diteruskan tanpa gangguan politik yang hanya akan merugikan rakyat.

“Apa yang diperlukan Sabah sekarang bukan polemik tidak berasas, tetapi kestabilan dan kesinambungan kepimpinan yang telah terbukti berjaya,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama