Cabul budak bawah umur, pemandu bot pelancong dijel 6 tahun, 3 kali sebatan

Pemandu bot pelancong, Salleh Abd Halil, 39, dihukum penjara enam tahun dan tiga kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.


TAWAU : Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan tiga kali sebatan keatas seorang pemandu bot pelancong selepas mengaku bersalah atas dakwaan mencabul kanak-kanak lelaki bawah umur, April tahun lalu.

Hakim Ahmad Faizadh Yahaya, turut memerintahkan tertuduh, Salleh Abd Halil, 39, menjalani tiga tahun tempoh pengawasan polis selepas membuat pengakuan itu bagi kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Mengikut pertuduhan, duda anak dua itu didakwa melakukan amang seksual fizikal iaitu dengan cara meletakkan kemaluannya pada punggung seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun enam bulan (ketika kejadian) dengan maksud seksual. 

Perbuatan itu dilakukan di Balai Raya berhampiran Masjid Nurul Hidayah Kampung Bangau-Bangau Semporna, sekitar jam 8 malam pada 21 April 2024.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Fakta kes itu juga menyatakan mangsa dihampiri oleh tertuduh ketika sedang bermain bersama rakannya di perkarangan masjid itu sementara menunggu kelas pengajian Al-Quran bermula.

Tertuduh didakwa telah membawa mangsa ke kawasan balai raya sebelum melakukan perbuatan keji itu sebelum dia ditangkap pada jam 11.45 malam susulan laporan dibuat ibu mangsa pada hari yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd Khusri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, tertuduh memohon hukuman terhadapnya diringankan memandangkan dia hanya bekerja sebagai pemandu bot pelancong selain menanggung dua anak yang kini dijaga keluarga mentua.

Mahkamah kemudiannya turut memerintahkan tertuduh mengikuti kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan yang berkuatkuasa dari tarikh sabitan hari ini.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama