KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berasa terkejut susulan terdapat dakwaan berhubung Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dikaitkan dengan skandal rasuah.
Menurutnya, beliau menyatakan kekesalannya mengenai perkara itu menerusi satu laporan oleh sebuah portal berita tempatan, hari ini.
"Tindakan ini bukan sahaja tidak bermoral, malah cukup memalukan kerana pihak yang terlibat sanggup melakukan apa sahaja, termasuk mengarang skrip semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan mereka.
"Sehubungan itu, saya menuntut penjelasan daripada individu yang disebut dalam artikel tersebut, iaitu Datuk Arifin Mohd Arif, berkenaan dakwaan beliau terlibat dalam penyediaan skrip yang mengaitkan ADUN UMNO dalam isu ini.
"Isu video tular yang membabitkan skandal rasuah ADUN Sabah ini sukar untuk dinafikan lagi. Rakyat sudah mula sedar akan kebenarannya, dan hanya penyokong tegar parti mereka sahaja yang masih cuba mempertahankan sesuatu yang jelas terbongkar," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Dalam pada itu, Bung turut berkata pihaknya menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk segera mengambil tindakan dan membawa semua yang terlibat ke muka pengadilan tanpa sebarang kompromi.
"Mereka yang melakukan kesalahan harus bertanggungjawab sepenuhnya. Jangan cuba melarikan diri atau berdolak-dalik apabila kebenaran terbongkar," katanya.