Wanita diacu pisau dalam kejadian samun berkumpulan di Lahad Datu

Rakaman CCTV memaparkan perbuatan suspek yang tular di media sosial, Sabtu lepas. 


LAHAD DATU: Seorang wanita berdepan detik cemas selepas disamun dan diacu pisau dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Payang Batu 7, di sini, Sabtu lepas.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.35 petang itu, sebuah video rakaman litar tertutup (CCTV) yang memaparkan perbuatan semua suspek terbabit turut tular di media sosial. 

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbahrin Ismail berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian samun itu daripada pemilik kedai runcit berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di sebuah kedai runcit berhampiran simpang Payang, Batu 7, Lahad Datu. 

“Siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa sedang mengira barangan yang dibeli oleh suspek, namun secara tiba-tiba suspek mengeluarkan sebilah pisau dan meletakkan di leher mangsa.

“Suspek kemudian membuka laci meja dan mengambil sejumlah wang tunai berjumlah RM1,220 dan melarikan diri dengan menggunakan motosikal,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini. 

Menurutnya, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan bersenjata.

“Pihak polis sedang giat mengesan suspek yang masih bebas dan meminta orang ramai yang mengetahui kejadian ini untuk memberikan maklumat.

“Maklumat boleh diberikan kepada Pegawai Penyiasat kes Inspektor Iskandar Kiprawi di talian 089-881255 atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama