KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Haji Mohamad Hamsan Haji Awang Supain atas pemergian beliau pada malam Ahad, 19 Januari 2025 lepas.
Katanya, pemergian Allahyarham, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada negeri dan rakyat yang diwakilinya.
“Allahyarham merupakan seorang rakan lama yang bersama-sama berjuangdalampentadbiran kerajaan.
“Beliau merupakan seorang pemimpin berjiwa rakyat, peramahdan disenangi ramai.
“Perjuangan dan sokongan beliau bersama kerajaan negeri amat dihargai,” kata Hajiji dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada isteri Allahyarham, Datin Hajah Kalsom Haji Abd Aziz, serta seluruh keluarga.
“Saya mewakili Kerajaan Negeri menzahirkan ucapan takziah. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama golongan orang-orang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Tambahnya, Allahyarham, yang pernah menjawat jawatan sebagai Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga dalam Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 pada tahun 2020 atas tiket Barisan Nasional (BN).
Kemenangan tersebut menyaksikan beliau berjaya menewaskan empat calon lain dengan majoriti sebanyak 1,538 undi.
Allahyarham Mohamad Hamsan, 65, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.20 malam di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.