![]() |
Datuk Ruslam Muharam merasmikan majlis pecah tanah bagi cadangan pembinaan kedai sosio-ekonomi di pekan baru Weston pada pagi Selasa. |
Majlis Pecah Tanah bagi projek ini menandakan langkah penting dalam meningkatkan peluang perniagaan di kawasan luar bandar.
Datuk Ruslan Muharam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, berkata projek ini akan melibatkan pembangunan 12 unit kedai baru yang akan memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk memiliki premis perniagaan dengan harga yang berpatutan.
"Pekan Weston yang sedia ada mempunyai kedai yang sudah berusia. Dengan pembinaan 12 unit kedai baharu ini, kami berharap peniaga di sini, khususnya di Pekan Weston, akan mendapat ruang dan peluang untuk memiliki kedai mereka dengan harga di bawah RM400 ribu," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan majlis pecah tanah bagi cadangan pembinaan kedai sosio-ekonomi di pekan baru Weston pada pagi Selasa.
Projek ini, yang dijangka membawa manfaat kepada peniaga tempatan, turut dijangka akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi kawasan tersebut.
Ruslan menambah, dengan perkembangan perniagaan, ia akan membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan dan meningkatkan pendapatan ekonomi setempat.
"Bila perniagaan berkembang, ia sudah tentu akan menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.
"Kehadiran pelancong ke Pekan Weston juga akan meningkatkan tarikan kawasan ini, terutamanya melalui kedai-kedai baharu yang menjual kraf tangan dan hasil tempatan," ujarnya.
Beliau juga menyatakan bahawa projek ini bertujuan untuk menarik lebih ramai pelancong ke Pekan Weston. Dengan adanya kedai-kedai baharu yang menjual produk kraf tangan dan hasil tempatan, kawasan ini diharapkan dapat menjadi satu tarikan pelancongan baru di daerah Beaufort.