![]() |
Tertuduh Sargalye Salasain, 29, dihukum penjara dua tahun atas kesalahan memukul anak kandungnya menggunakan tali pinggang, Oktober tahun lalu. |
TAWAU : Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhi hukuman penjara dua tahun keatas seorang lelaki warga Filipina selepas mengaku bersalah menganiaya anak lelakinya berusia tujuh tahun, Oktober tahun lalu.
Hukuman itu diputuskan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak sebelum menerima pengakuan bersalah Sargalye Salasain, 29, dan mensabitkannya dengan pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh tangkapan iaitu pada 12 Oktober 2024.
Selain itu, tertuduh juga dikehendaki mengemukakan bon berkelakuan baik berjumlah RM2,000 dengan seorang penjamin tempatan selama dua tahun serta diperintah menjalani program khidmat masyarakat selama 120 jam agregat dalam tempoh 12 bulan selepas dibebaskan dari penjara.
Mengikut pertuduhan, bapa tunggal yang juga pemegang dokumen pelarian IMM13 didakwa sebagai bapa kepada kanak-kanak lelaki itu menganiayai sehingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa di rumah mereka di Kampung Sungai Buaya, Batu 3 Jalan Apas, di sini, jam 10.45 pagi, 12 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 31 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam manakala tertuduh diwakili peguam Chen Wen Jye, secara pro bono.
Berdasarkan fakta Kes, tertuduh dikatakan memarahi mangsa yang bermain guli sebelum bertindak memukulnya menggunakan seutas tali pinggang sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian badan.
Kejadian itu bagaimanapun disaksikan isteri kepada bapa saudara mangsa yang sempat mengambil rakaman video sebelum laporan polis dibuat.