![]() |
Datuk Joniston Bangkuai |
KOTA KINABALU: Belum ada sebarang perbincangan atau keputusan rasmi dibuat dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahupun Parti Bersatu Sabah (PBS) berhubung cadangan agar Parti Warisan (WARISAN) menyertai gabungan terbabit.
Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai menjelaskan cadangan untuk menjemput WARISAN menyertai GRS datang daripada pemimpin individu tertentu dan tidak menggambarkan pendirian rasmi gabungan itu.
Beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan PBS itu menjawab pertanyaan media dan penyokong GRS, khususnya dari PBS, yang mencari penjelasan mengenai kedudukan gabungan itu berikutan kenyataan baru-baru ini mengenai perkara terbabut
Joniston menegaskan bahawa walaupun GRS mengalu-alukan idea untuk menyatukan parti tempatan untuk kepentingan Sabah, adalah penting untuk ambil perhatian bahawa terdapat proses yang perlu diikuti, dan perkara ini belum dibincangkan atau diputuskan secara rasmi dalam parti atau gabungan itu.
“Ini adalah pendapat yang diutarakan oleh sesetengah individu, tetapi ia belum dibawa ke meja untuk perbincangan di kalangan kepimpinan GRS atau PBS.
"Kami menghargai minat untuk mengukuhkan rangka kerja politik Sabah, tetapi kami menggesa penyokong dan orang ramai untuk mengelak membuat kesimpulan berdasarkan pendapat individu," katanya.
Cadangan supaya WARISAN menyertai GRS timbul selepas presidennya Datuk Seri Shafie Apdal dilaporkan mendakwa GRS telah berulang kali menolak tawaran untuk bekerjasama menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Susulan itu, Ketua Pemuda PBS Christopher Mandut mencadangkan WARISAN memohon untuk menyertai GRS dan Majlis Tertinggi gabungan itu akan membincangkan permohonan itu.
Christopher juga menekankan bahawa penyatuan parti tempatan akan menguntungkan Sabah, dengan syarat semua parti mengutamakan perpaduan daripada perbezaan.