Kastam Sabah tumpaskan penyeludupan dadah dan chewing tobacco bernilai hampir RM3 Juta

Foto ihsan JKDM Sabah

KOTA KINABALU– Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah mencatatkan kejayaan besar dalam memerangi penyeludupan menerusi rampasan dadah dan chewing tobacco yang dianggarkan bernilai hampir RM3 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang berkata, dalam operasi pertama, Cawangan Narkotik JKDM Zon Sabah berjaya merampas sejumlah 98.331 kilogram dadah di kargo dan Pos Aviation, Kota Kinabalu.

"Rampasan berkenaan melibatkan tiga kes berasingan dengan nilai keseluruhan dadah dianggarkan sebanyak RM2,897,416.30.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, dalam kes kedua, JKDM Zon Sabah melakukan sitaan terhadap 50 kotak chewing tobacco di Pelabuhan Sepanggar.

Manakala, pemeriksaan ke atas dokumen import dan kontena mendapati pengimport gagal mengemukakan permit import yang sah.

"Nilai dagangan tersebut dianggarkan bernilai RM38,500.00, dengan cukai sebanyak RM156,310.00.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana pengikraran yang tidak benar," ujarnya.

JKDM menyeru orang ramai untuk terus bekerjasama dalam membanteras jenayah penyeludupan, termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan, dan barangan lain.

"Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, tetapi juga mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama