![]() |
Tangkap layar dari rakaman video objek tajam seperti paku, batu dan kayu ditemui di kilometer 20 Jalan Semporna-Tawau, pada Ahad lalu. |
SEMPORNA: Polis mengesahkan sudah memanggil Ibu bapa dan kanak-kanak yang disyaki meletakkan objek tajam di atas jalan raya di Kilometer 20, Jalan Semporna-Tawau, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, tindakan itu diambil susulan laporan dibuat seorang individu berkaitan penemuan objek berbahaya itu kira-kira jam 7.30 pagi.
Beliau berkata, perbuatan itu dilakukan oleh kanak-kanak berusia 12 tahun yang tinggal berdekatan dengan lokasi kejadian dengan tujuan sekadar untuk suka-suka.
"Ibu bapa bersama kanak-kanak terbabit kita panggil hadir dan berikan nasihat supaya mengawasi anak mereka serta tidak mengulangi perbuatan itu," katanya menerusi kenyataan di sini lewat malam tadi.
Mohd Sabri berkata, kejadian itu disedari seorang pengguna jalan raya yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Tawau melihat beberapa objek tajam seperti batu, kayu dan paku di atas jalan raya dipercayai diletakkan secara sengaja oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, pengadu bersama beberapa individu termasuk pemandu bas pelancong yang melalui kawasan itu kemudian bertindak membuang objek berkenaan bagi mengelak kemalangan kepada pengguna jalan raya yang lain.
"Tiada sebarang kemalangan berlaku dan pihak polis mengucapkan terima kasih kepada pengguna jalan raya yang peka dan prihatin dengan mengambil tindakan pantas sekaligus mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 56 saat, memaparkan pengguna jalan raya menemukan beberapa objek tajam seperti paku, batu dan kayu di atas jalan raya.