Konten media sosial boleh cetus bahaya jika gagal ditangani


  

RANAU: Media sosial dilihat boleh membawa impak besar serta mencetuskan bahaya sekiranya gagal ditangani dengan baik dan berkesan.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata orang ramai kini sangat mudah terpengaruh dengan sebaran di media sosial.

Katanya, semua maklumat mudah tersebar luas  melalui sesiapa sahaja terutamanya pempengaruh atau pencipta kandungan yang ramai pengikut.

“Dunia media sosial tanpa sempadan hari ini berpotensi dijadikan alat pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan berita-berita yang tidak sahih.

“Ramai dalam kalangan masyarakat kita hari ini menerima bulat-bulat maklumat yang berada di media sosial tanpa memeriksa kesahihannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam penutupan Bengkel Penerangan Zon 7 dan Zon 8, di sini. Majlis perasmian bengkel berkenaan dirasmikan Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Sementara itu, Masidi meminta pengguna media sosial supaya memiliki ilmu asas dan kemahiran untuk menapis sebarang maklumat yang diterima bagi memastikan kesahihan berita berkenaan.

“Kita tidak boleh tergesa-gesa menerima berita tanpa menyelidik dan perlunya juga memastikan kesahihan sebelum menerimanya atau berkongsi kandungan berkenaan.

“Maklumat sepatutnya membantu kepada proses pembangunan dan kemajuan negara, bukannya yang boleh menimbulkan perpecahan atau salah faham,” katanya.

Masidi turut meminta pemimpin parti supaya sentiasa bersedia menguruskan media sosial dengan menyebar maklumat yang benar serta lebih proaktif bagi mengekang maklumat palsu.

Katanya, penjelasan kepada rakyat melalui media sosial harus disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami, jelas, tepat dan berkesan.

“Kita tidak mahu rakyat dikelirukan dengan fakta yang salah dan songsang. Setiap dakyah harus dilawan dengan kebenaran. 

“Tugas ketua penerangan menjadi tanggungjawab dan perjuangan kepada semua. Kita harus menang di media sosial jika ingin menang dalam pilihan raya akan datang,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama