![]() |
Chan (lima dari kanan) bergambar bersama buah koko - ihsan Jabatan Penerangan Sabah |
KOTA KINABALU : Malaysian International Cocoa Fair (MICF) 2025 akan berlangsung selama empat hari bermula 24 Mei ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, acara yang julung kali diadakan di Sabah itu dapat menjadi platform utama bagi pemain industri koko tempatan dan antarabangsa mempamerkan produk serta berkongsi pengetahuan.
"Objektif utama MICF 2025 adalah untuk mempromosikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dari segi pembangunan teknologi dengan mempamerkan aliran pembangunan yang berterusan bagi industri koko merangkumi aktiviti eksport dan import dengan pelbagai produk koko berasaskan pasaran ASEAN dan kawasan lain.
"Sabah memegang kedudukan terkemuka sebagai pengeluar utama biji koko Malaysia, menyumbang 60 peratus daripada jumlah pengeluaran koko negara dengan kira-kira 6,000 hektar ladang koko yang majoritinya diuruskan oleh petani kecil.
"Lembaga Koko Malaysia (MCB) kini memulakan pembangunan komuniti atau petani dengan penubuhan koperasi untuk mengukuhkan simpanan makanan di penciptaan nilai ekonomi dengan objektif murni dengan meningkatkan pendapatan petani.
"Penubuhan koperasi telah mengukuhkan lagi usaha ekonomi mereka, membawa kepada peningkatan produktiviti dan pendapatan yang lebih tinggi.
"MICF 2025 menawarkan lebih daripada sekadar pameran dan ia adalah peluang untuk mengembangkan rangkaian perniagaan, mendapatkan pengetahuan terkini dan meneroka peluang-peluang baharu dalam industri koko," katanya ketika berucap merasmikan Pra-Pelancaran dan Sidang Media MICF 2025 di sini, pada Isnin.
Di samping itu, beliau juga menjelaskan MICF 2025 mampu memperkasa semula industri koko dan menjadikan Malaysia khususnya Sabah sebagai hub pengeluaran biji koko di Asia.
"Pada ketika ini, hanya tinggal 6,000 hektar kawasan penanaman koko di seluruh negara yang hanya dapat menghasilkan kurang daripada 500 tan biji koko setahun.
"MICF 2025 ini dianjurkan di Sabah tepat pada masanya bagi menggalakkan industri pertanian untuk meneroka semula penanaman koko yang kini harga jualan biji koko mencecah RM46 ribu setiap satu tan," ujarnya.
MICF 2025 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu menjangkakan kehadiran lebih 25 ribu pengunjung bagi pameran dan 1,000 peserta bagi persidangan dan majlis makan malam.
Hadir sama, Pengerusi MCB, Datuk Matbali Musah dan Ketua Pengarah MCB, Datuk Dr Ramle Kasin.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )