KOTA KINABALU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang bekas pengarah sebuah agensi kerajaan negeri kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM110,000, tahun lalu.
Suspek lelaki berusia 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM di sini, kira-kira jam 2.30 petang semalam.
Sumber memberitahu, wang rasuah berkenaan diperolehi daripada beberapa syarikat yang telah mendapat projek pembekalan dengan jabatan tempat suspek bertugas.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada awal tahun 2024 dan meminta rasuah untuk pegawai-pegawai di bawah seliannya.
“Dia juga disyaki menerima suapan dalam bentuk barangan seperti mesin basuh, komputer riba, tablet, telefon pintar, gitar elektrik, peralatan gim, aksesori kereta dan pembayaran untuk pembelian motosikal," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 masih dijalankan.
"Suspek bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan selepas keterangannya diambil.
"SPRM turut menyita dan merampas semua barangan tersebut," katanya.